Kerjasama Sastera Malaysia-Indonesia Dimantapkan Lewat Majlis Ramah Mesra PEMUISI–UNJA 2026

Event 06 Sep 2026 18:42 3 min read 451 views By Internasional Nusantara Cultural Forum
Kerjasama Sastera Malaysia-Indonesia Dimantapkan Lewat Majlis Ramah Mesra PEMUISI–UNJA 2026
Kerjasama Sastera Malaysia-Indonesia Dimantapkan Lewat Majlis Ramah Mesra PEMUISI–UNJA 2026

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Usaha mendaulat dan menyemarakkan seni sastera merentas sempadan terus mendapat suntikan baharu menerusi penganjuran Majlis Ramah Mesra PEMUISI–UNJA 2026 yang berlangsung penuh meriah di Institut Pendidikan Guru Khas (IPGK), Cheras, dekat sini.

Majlis yang dimaterai bagi mengeratkan silaturahim antara persatuan sastera tanah air dan institusi pengajian tinggi Indonesia itu telah dirasmikan oleh Kerabat Utama Persatuan Penyair Malaysia (PEMUISI), YBhg. Datuk Dr. Chamil Wariya.

Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Dr. Chamil Wariya menegaskan bahawa bahasa dan budaya antara Malaysia dan Indonesia tidak pernah benar-benar terpisah, sebaliknya sentiasa terikat kukuh oleh sejarah dan warisan yang sama.

"Kita mungkin dipisahkan oleh sempadan negara-bangsa ciptaan Barat, tetapi kita tidak pernah benar-benar terpisah oleh bahasa dan budaya. Banyak kata yang kita gunakan mempunyai akar yang sama. Banyak cerita rakyat, adat, nilai kekeluargaan dan tradisi kita mempunyai persamaan. Melalui puisi, persamaan-persamaan itu dapat kita hidupkan kembali dalam bentuk yang indah dan bermakna," ujar beliau.

Beliau turut menambah bahawa karya seni dan puisi berupaya menjadi jambatan persahabatan yang kukuh untuk menghubungkan hati serta perasaan rakyat kedua-dua negara jiran. Menurutnya, pemuisi memainkan peranan besar bukan sekadar menulis kata-kata, malah merakam zaman dan menyuarakan nilai-nilai kehidupan.

Sementara itu, Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim, menyuarakan rasa bangga dan menyambut baik kedatangan sembilan orang delegasi Universitas Jambi (UNJA) yang diketuai oleh Dekan Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan UNJA, Profesor Dr. Supian Ramli.

Dato’ Dr. Radzuan menyatakan harapan agar kunjungan bermakna ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga pemuisi kedua-dua belah pihak. Kemuncak majlis tersebut turut menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama rasmi antara PEMUISI dan Universitas Jambi bagi merangka pelbagai program sastera dan budaya yang berfaedah pada masa hadapan.

Menyambut baik usaha tersebut, Profesor Dr. Supian Ramli menzahirkan rasa terharu dan penghargaan atas sambutan serta layanan mesra yang diberikan oleh pihak PEMUISI di auditorium IPGK. Beliau bersedia untuk membalas kehangatan sambutan berkenaan apabila pihak PEMUISI mengadakan kunjungan balas ke Universitas Jambi kelak.

Turut menyampaikan ucapan dalam majlis berkenaan ialah Pengarah IPGK, Dr. Nirwana Mohd. Rashid, yang menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak PEMUISI kerana memilih IPGK sebagai tuan rumah bagi acara berprestij itu.

Majlis yang dihadiri kira-kira 100 orang tetamu—terdiri daripada sasterawan, pemuisi, kakitangan IPGK, pelajar, dan peminat puisi tempatan—turut diserikan dengan pelbagai persembahan seni yang memukau.

Antara persembahan yang mengisi acara termasuklah alunan Gurindam 12 oleh Dr. Shafaatussara Silahuddin, persembahan puisi artistik oleh deklamator kebangsaan Rasimin dan Umar Mokhtar Abdullah, bacaan puisi oleh Dr. Abang Patdeli Abang Muhi, Awang Jendarata, serta wakil delegasi UNJA. Suasana majlis bertambah seronok dengan penyampaian lagu-lagu puisi oleh Dato’ Wanrazuhar dan Datin Mayya Humairah.

Komentar (0)

Belum ada komentar.